Kelapa (bahasa Inggeris: coconut, tulisan Cina 椰) atau juga dikenali sebagi nyiur adalah tumbuhan saka, tempoh ekonomi adalah melebihi 25 tahun. Pokoknya boleh mencapai ketinggian 6 hingga 30 meter bergantung kepada variasi. Ia didapati di semua kawasan tropika. Keseluruhan pokok kelapa dapat dimanfaatkan kepada pelbagai guna.
Pokok kelapa (Cocos nucifera L.) adalah ahli keluarga Arecaceae (keluarga palma). Ia merupakan spesies tunggal yang dikelaskan dalam genus Cocos dan merupakan pokok palma yang besar, tumbuh setinggi 30 meter, dengan pelepah daun (pinnate) sepanjang 4-6 meter, dengan helaian daun (pinnae) sepanjang 60-90 cm; pelepah tua luruh meninggalkan batang pokok yang licin.
Kesemua bahagian pokok kelapa berguna kecuali kemungkinannya bahagian akar dan pokok kelapa mampu menghasilkan sehingga 75 biji kelapa setahun; dengan itu, ia mempunyai nilai ekonomi yang tinggi. Malah, nama pokok kelapa dalam bahasa Sanskrit adalah kalpa vriksha, yang diterjemahkan sebagai "pokok yang membekalkan semua keperluan kehidupan". Kegunaan pelbagai bahagian kelapa termasuk:
- batang kelapa boleh dibuat titi serta bahan pembinaan untuk rumah seperti papan, dinding dan lantai
- daun kelapa boleh dibuat pembalut makanan
- lidi kelapa boleh dibuat penyapu
- sabut kelapa boleh dibuat tali
- tempurung kelapa boleh diproses menjadi ubat nyamuk dan barangan kraftangan
- serbut sabut boleh dibuat bahan reput dan kompos dalam pertanian
- minyaknya sebagai minyak masak, minyak pelita dan sabun
Buah
Air daripada buah kelapa boleh diminum dan isi kelapa yang lembut boleh dimakan mentah. Kelapa muda juga dikukus, direbus atau dipanggang sebelum airnya diminum dan isinya dimakan. Dalam masyarakat Melayu terutamanya, kelapa tua diproses untuk dijadikan santan dan minyak masak seharian.